
Kuala Lumpur | 23 Jun 2026
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) terus memperkukuh agenda pemerkasaan kesatuan sekerja menerusi Majlis Penyerahan Geran Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Tahun 2026 Peringkat Semenanjung Malaysia yang disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia. Turut hadir dalam majlis yang sama ialah YB Datuk Khairul Firdaus Bin Akbar Khan, Timbalan Menteri Sumber manusia dan YBrs. Encik Sutekno Bin Ahmad Belon, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA.


Bagi tahun 2026, Kerajaan MADANI memperuntukkan RM6.1 juta untuk pelaksanaan PHEKS di seluruh negara, termasuk RM2.88 juta bagi 325 permohonan geran yang diluluskan di Semenanjung Malaysia.
Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan bahawa kesatuan sekerja merupakan rakan strategik kerajaan dalam memperkukuh hubungan perusahaan yang harmoni, melindungi hak pekerja serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

Sehingga 31 Disember 2025, Malaysia mempunyai 786 kesatuan sekerja berdaftar dengan keanggotaan melebihi 1.06 juta orang. KESUMA akan terus memperkasa gerakan kesatuan sekerja melalui latihan, pendigitalan, penyelidikan dan pemantapan tadbir urus.


Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan KESUMA dalam memperkukuh hak pekerja, memajukan hubungan perusahaan serta membina pasaran buruh yang progresif dan berdaya tahan.

Berikut dikongsikan pautan foto penuh Majlis Penyerahan Geran Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja PHEKS 2026 Peringkat Semenanjung Malaysia untuk rujukan dan simpanan.
https://drive.google.com/drive/folders/1JcTnrZm2ZGxhUE5xxWelsyDKP4u8ws6s?usp=sharing
Nota : Klik pautan ini untuk lihat album gambar



