Kota Kinabalu, Sabah | Isnin, 19 Mei 2025
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) terus memperkukuh agenda reformasi buruh melalui penganjuran Program Transformasi Perundangan Perburuhan 2025 yang berlangsung di Le Meridien Hotel, Kota Kinabalu. Dengan tema “Perburuhan Progresif, Negara Kompetitif”, program ini menekankan komitmen kerajaan dalam memperkasakan hak pekerja dan memacu keharmonian perusahaan, khususnya di Sabah.

Program dimulakan seawal jam 8.00 pagi dan menyaksikan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan dalam sesi forum bertajuk “Transformasi Perundangan Perburuhan: Pemerkasaan Perundangan Perburuhan ke Arah Keharmonian Perusahaan di Sabah”. Sesi ini membuka ruang dialog yang konstruktif berkaitan pelaksanaan Ordinan Buruh Sabah yang mula dikuatkuasakan pada 1 Mei 2025.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu patriotik, ikrar dan doa sebagai simbol semangat kenegaraan. Ucapan aluan disampaikan oleh YBrs. Encik Mohd Asri bin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja Malaysia, manakala ucapan perasmian disempurnakan oleh YBhg. Datuk Mohd. Hanafiah bin Mohd. Kassim, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah.
Program turut menampilkan sesi soal jawab bersama panel, memberi ruang kepada peserta untuk memahami secara lebih mendalam aspek perundangan terkini yang memberi kesan langsung kepada pekerja dan majikan di negeri ini.

Selaras dengan teras Malaysia Madani iaitu Keadilan, Daya Cipta, dan Ihsan, inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh perlindungan kepada pekerja tetapi juga memperlihatkan usaha menyeluruh kerajaan dalam menyelaraskan pembangunan ekonomi dengan kesejahteraan sosial. Penganjuran ini menandakan komitmen berterusan kerajaan dalam memacu pemodenan sistem perburuhan yang lebih progresif dan inklusif.




