KUALA LUMPUR | 25 Ogos 2025
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) hari ini melakar sejarah apabila membentangkan bacaan pertama Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 (RUU 2025) di Parlimen. Pembentangan bersejarah ini disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, YB Encik Steven Sim Chee Keong, dengan diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kesuma, YBrs Dr Mohd Shaharin Umar, serta disaksikan oleh pelbagai pihak berkepentingan daripada industri e-hailing, p-hailing, badan guaman dan persatuan pekerja.
Menurut Steven Sim, pembentangan ini menandakan titik tolak penting dalam landskap buruh negara. “Tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pekerja gig tidak boleh membawa tuntutan atau pertikaian ke Mahkamah Perusahaan. Keputusan ini menyebabkan mereka tidak mempunyai ruang mendapatkan keadilan. Namun, dengan bacaan pertama RUU ini, Malaysia berpeluang mewujudkan undang-undang pertama untuk melindungi pekerja gig,” katanya pada sidang media di pusat media Parlimen.
RUU 2025 merangkumi 10 bahagian dengan 112 fasal, memberi fokus kepada empat teras utama: definisi statutori yang jelas mengenai pekerja gig, hak untuk terlibat dalam rundingan isu pendapatan, mekanisme penyelesaian pertikaian, serta perlindungan sosial. Jika diluluskan, Malaysia bakal menjadi negara ke-16 di dunia yang memperkenalkan definisi rasmi pekerja gig, sekaligus membina ekosistem ekonomi gig yang lebih progresif, inklusif dan mampan.
Pembentangan RUU ini mendapat sambutan positif daripada pelbagai pihak. Karthigesan Shanmugam, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-Undang Perusahaan dan Pekerjaan Majlis Peguam, berkata: “Pengenalan definisi statutori pekerja gig, bersama mekanisme penyelesaian pertikaian, perlindungan pendapatan dan caruman keselamatan sosial, adalah kemajuan penting untuk menutup jurang peraturan yang lama wujud.”

Ketua Aktivis Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM), Jose Rizal, turut menyokong penuh RUU ini. “RUU ini boleh menjadi reformasi tepat pada masanya. Ia akan mengubah landskap ekonomi gig menjadi lebih kukuh, selamat dan terjamin. Ia adalah game-changer yang ditunggu oleh komuniti pekerja gig,” jelasnya. Presiden Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia (Profima), Khalil Salleh, pula menegaskan: “Akhirnya istilah pekerja gig dan freelancer akan didefinisikan secara rasmi. Dengan adanya undang-undang ini, kami yakin kebajikan kami akan lebih terpelihara.”
Sokongan turut dizahirkan oleh Presiden Persatuan Jurubahasa dan Penterjemah Komuniti Pekak Selangor & Kuala Lumpur (JUPEBIM), Lucy Lim, yang melihat RUU ini sebagai pengiktirafan kepada profesion penterjemah dan jurubahasa bebas. Pandangan sama dikongsi Farid Mahmud, wakil Rakan Representative Committee (RRC) Deaf Grab Malaysia, yang menyatakan bahawa undang-undang ini akan mengurangkan diskriminasi pekerjaan terhadap komuniti pekak. “Dengan adanya RUU ini, komuniti pekak dapat bekerja tanpa halangan kerana kebajikan kami akhirnya diiktiraf,” katanya melalui bahasa isyarat.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor, mengingatkan bahawa pekerja gig telah memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian masyarakat, khususnya semasa pandemik Covid-19. Presiden Uni Malaysia Labour Centre (Uni-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal, pula memuji usaha Kesuma kerana berjaya merapatkan jurang antara kerajaan dan komuniti gig. Sementara itu, Pengasas North South Initiative, Adrian Pereira, menyifatkan RUU ini sebagai pendekatan ‘menang-menang’ yang mampu mengurangkan kadar pusing ganti pekerja, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh kualiti perkhidmatan.
Dengan pembentangan ini, lebih 1.2 juta pekerja gig di seluruh negara dijangka bakal menikmati perlindungan yang lebih menyeluruh, sekaligus meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih kompetitif di peringkat antarabangsa. Kesuma optimis bahawa RUU 2025 akan menjadi pemangkin ke arah masa depan ekonomi gig yang lebih adil, seimbang dan berdaya tahan.




