19 & 20 Julai 2025 | Kampung Tanjung Genting, Mersing
Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Negeri Johor dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, kesatuan sekerja, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta komuniti setempat telah berjaya menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kesatuan Sekerja Tahun 2025 yang berlangsung meriah pada 19 Julai 2025 di Kampung Tanjung Genting, Mersing. Program ini berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam satu inisiatif kolektif bertujuan memperkasa komuniti, menyemai kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar dan mengangkat warisan budaya tempatan.
Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan termasuk senaman J-Robik, aktiviti plogging, serta gotong-royong pembersihan pantai yang berjaya mengumpulkan sebanyak 343.5 kilogram sampah. Inisiatif ini diikuti dengan penanaman 165 anak pokok rhu dan 20 anak pokok tapak kuda di persisiran pantai sebagai simbol komitmen terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar dan pelancongan lestari di Daerah Mersing. Kehadiran masyarakat setempat diserikan lagi dengan pelbagai pertandingan seperti kutipan sampah terberat, gubahan bunga, gubahan tuala dan permainan karom, yang berjaya menggalakkan penglibatan menyeluruh semua lapisan komuniti.

Majlis perasmian program telah berlangsung di Dewan Tg. Genting Chalet & Campsite, dan disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd Asri bin Abdul Wahab, Ketua Pengarah JHEKS Malaysia, selepas ucapan aluan daripada YBhg. Tuan Haji Jamil Hasni bin Abdullah, Pegawai Daerah Mersing. Penyampaian plak penghargaan kolaborasi dan hadiah pertandingan turut menambah kemeriahan serta memberi makna terhadap kejayaan penganjuran program.
Apa yang menjadikan program ini lebih istimewa ialah pengisian malam sebelumnya yang bertemakan kebersamaan dan warisan. Acara rewang, bacaan tahlil, kenduri sekampung dan tayangan filem klasik Sri Mersing melalui Wayang Pacak telah menghidupkan semula nilai tradisi, rohani dan seni warisan masyarakat tempatan. Gabungan elemen tersebut menyemai semangat perpaduan dan kekitaan yang semakin terhakis dalam kehidupan moden.
Program ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak antaranya Pegawai Hutan Daerah Mersing, Penghulu Mukim Tenglu, Majlis Daerah Mersing, SWCorp, SWM Environment, Ketua Kampung Tanjung Genting dan NGO seperti Global Environment Centre (GEC). Penyertaan dan sokongan pelbagai agensi ini membuktikan sinergi yang kukuh antara sektor awam, masyarakat dan pertubuhan sivil dalam menjayakan agenda sosial dan alam sekitar.

Impak positif daripada program ini amat ketara — bukan sahaja dari sudut fizikal seperti kebersihan dan keindahan kawasan pantai, malah lebih besar ialah penciptaan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar, memelihara warisan tempatan dan memupuk nilai gotong-royong. Komuniti setempat menunjukkan semangat luar biasa dan komitmen tinggi dalam menjayakan setiap aktiviti, sekali gus mewujudkan hubungan erat antara penduduk, agensi dan JHEKS.
Dalam ucapannya, Ketua Pengarah JHEKS Malaysia, YBhg. Tuan Haji Mohd Asri bin Abdul Wahab, menzahirkan penghargaan terhadap komitmen semua pihak yang menjayakan program. Beliau turut menyatakan harapan agar program seumpama ini diteruskan dan diperluaskan ke daerah-daerah lain, sebagai platform menyemai kesedaran sivik dan memperkukuh peranan kesatuan sekerja bukan sahaja dalam isu perburuhan, tetapi juga dalam pembangunan sosial dan komuniti.

“Kesatuan sekerja bukan hanya medium perjuangan hak pekerja, tetapi juga agen perubahan sosial yang mampu memimpin masyarakat ke arah kesejahteraan bersama. Melalui usaha seperti ini, kita membina komuniti yang bukan sahaja cakna terhadap hak, tetapi juga terhadap tanggungjawab terhadap alam dan sesama manusia.”
JHEKS Johor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak atas sokongan padu dan kerjasama erat yang telah menjayakan program ini. Diharapkan usaha sebegini menjadi model kolaboratif dalam membina negara yang lebih lestari, harmoni dan berbudaya tinggi.




