Betong, Sarawak – Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Sarawak dengan kerjasama CUEPACS Sarawak telah berjaya melaksanakan Program Khidmat Masyarakat (CSR) 2025 bertemakan “Menyatuni Komuniti, Menyemai Bakti” pada 4 dan 5 Julai 2025. Program ini telah diadakan di sekitar kawasan Betong, melibatkan penyertaan aktif masyarakat setempat dari Kampung Melayu Passa dan Rumah Panjang Passa Nanga, serta ahli-ahli kesatuan dari seluruh negeri.

Program dimulakan dengan Majlis Penyerahan Bakul Kasih yang berlangsung di Ruang Legar, Aras UG, Kompleks Pejabat Negeri, Betong. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Tuan Haji Mohd Asri bin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja Malaysia. Seramai 56 orang penerima daripada komuniti setempat telah menerima sumbangan bakul kasih, terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan keluarga berpendapatan rendah. Bantuan ini adalah sebahagian daripada usaha JHEKS untuk menyalurkan keprihatinan kepada masyarakat yang memerlukan.
Pada sebelah malam, pengisian rohani turut disediakan melalui ceramah agama yang disampaikan oleh wakil Pejabat Agama Islam Betong, yang bertujuan menyemai nilai moral dan membina kesejahteraan spiritual dalam kalangan komuniti yang hadir.
Program diteruskan keesokan harinya, 5 Julai 2025, dengan aktiviti gotong royong perdana yang dijalankan secara serentak di Kampung Melayu Passa dan Rumah Panjang Passa Nanga. Aktiviti ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Ahmad Nadzri bin Mohd Hassan, Setiausaha Persekutuan Sarawak, yang turut turun padang bersama peserta. Penduduk setempat dan peserta bergotong-royong membersihkan kawasan kampung, memperbaiki kemudahan asas, dan menyertai aktiviti memasak tradisional seperti ayam pansuh dan pais ikan buntal, yang menjadi warisan kulinari unik masyarakat Sarawak.

Program menjadi lebih bermakna dengan lawatan ke rumah panjang, di mana peserta program disambut dengan penuh mesra dan adat tradisi oleh komuniti Rumah Panjang Passa Nanga. Interaksi ini bukan sahaja memupuk persefahaman budaya, malah memperkuat hubungan sosial antara pelbagai lapisan masyarakat.
Objektif utama program ini adalah untuk memperkukuh hubungan antara kesatuan sekerja dan masyarakat setempat, menyalurkan bantuan kebajikan secara langsung, serta menggalakkan penyertaan warga kesatuan dalam aktiviti kemasyarakatan. Ia juga bertujuan menyemai semangat gotong royong, prihatin dan perpaduan antara komuniti pelbagai kaum.

Secara keseluruhannya, Program CSR JHEKS Sarawak 2025 memberi impak yang sangat positif. Selain meringankan beban komuniti yang memerlukan, ia juga berjaya membentuk jalinan erat antara penjawat awam, ahli kesatuan dan masyarakat luar bandar. Program ini membuktikan bahawa tanggungjawab sosial adalah tanggungjawab bersama, dan kesatuan bukan sahaja memperjuangkan hak pekerja, tetapi juga aktif menyumbang dalam pembangunan sosial negara.
JHEKS Sarawak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini, khususnya komuniti Betong yang menyambut baik kehadiran peserta dengan semangat kekitaan yang tinggi. Diharapkan program CSR seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke kawasan lain demi membina masyarakat yang inklusif, prihatin dan bersatu padu.




