Kuala Nerus, 4–5 Julai 2025 – Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Negeri Terengganu dan Kelantan telah berjaya menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) JHEKS 2025 di Pantai Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus. Program selama dua hari ini menghimpunkan lebih 300 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli kesatuan sekerja dari negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang dan penyertaan masyarakat setempat.
Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk mengukuhkan hubungan antara kesatuan sekerja dan komuniti dengan menerapkan nilai kesukarelawanan dalam kalangan ahli serta menyampaikan bantuan dan sokongan kebajikan secara terus kepada golongan memerlukan seperti anak yatim dan asnaf. Program ini juga bertujuan untuk menyemai kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dan membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang program ini termasuklah Bekwoh Perdana dan Program Aqiqah anak-anak yatim dan asnaf. Aktiviti sukaneka seperti pertandingan wau dan pertandingan memasak bubur asyura pula menjadi medium interaksi mesra antara kesatuan dan komuniti. Program ini turut diserikan dengan aktiviti pembersihan pantai dan penanaman pokok sebagai inisiatif hijau ke arah kelestarian alam sekitar.
Program ini turut menyediakan agihan bakul rahmah dan foodbank, di samping menganjurkan free market untuk keperluan harian komuniti bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan. Tidak ketinggalan, pemeriksaan kesihatan percuma dan kempen derma darah turut dijalankan dengan kerjasama pihak kesihatan dengan memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan saringan kesihatan secara percuma.
Kehadiran tokoh penting seperti YBhg. Dato’ Adnan Mat, Presiden CUEPACS dan Puan Anita Binti Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah JHEKS turut memberikan suntikan semangat dan sokongan moral kepada para peserta dan petugas program.

Secara keseluruhannya, Program CSR JHEKS 2025 telah berjaya memberi impak positif yang besar kepada masyarakat. Bantuan secara langsung kepada golongan rentan bukan sahaja meringankan beban mereka, malah menyemai rasa keprihatinan dalam kalangan warga kesatuan. Di samping itu, program ini turut berjaya memupuk kesedaran sivik, memelihara keharmonian sosial dan membina jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, kesatuan sekerja dan komuniti.
Inisiatif seperti ini membuktikan bahawa kesatuan bukan sahaja memperjuangkan hak pekerja, tetapi juga berperanan sebagai ejen pemangkin pembangunan sosial dan kebajikan masyarakat.




