Raia Hotel & Convention Centre, Terengganu | Sabtu 10 Mei 2025
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) pada hari ini terus komited memperkasa suara pekerja melalui pelaksanaan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Tahun 2025 dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah, berjumlah RM10 juta. Majlis penyerahan bagi peringkat Zon Timur telah berlangsung di Hotel Raia, Terengganu dan disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Asri bin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS).

Sebanyak 96 permohonan bernilai RM1.05 juta telah diluluskan untuk kesatuan sekerja dari negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang, sebagai sebahagian daripada jumlah keseluruhan 551 permohonan bernilai RM7.15 juta yang diluluskan secara nasional.
PHEKS merupakan bantuan kewangan bersifat one-off bagi menyokong aktiviti kesatuan dalam lima kluster utama: latihan dan pendidikan, kajian kesatuan sekerja, penulisan ilmiah, pembelian perkakasan komputer dan pendigitalan rekod.

Program ini tidak hanya bertujuan memperkukuh struktur organisasi kesatuan, malah memupuk kepimpinan berwibawa dan kesatuan yang progresif seiring aspirasi Malaysia MADANI, khususnya dalam teras Keadilan, Ihsan dan Daya Cipta, dengan menekankan keupayaan kesatuan membela hak pekerja secara lestari dan inklusif.
Pelaksanaan PHEKS 2025 membuktikan kesungguhan kerajaan dalam merapatkan jurang antara polisi dan pelaksanaan akar umbi melalui sokongan langsung terhadap pergerakan kesatuan sekerja.




