Kota Kinabalu, Sabah | Isnin, 19 Mei 2025
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) telah mengadakan Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2025 Zon Sabah di Le Meridien Hotel, Kota Kinabalu bagi memperkukuh gerakan kesatuan sekerja. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada YB Dr. Kelvin Yii, Setiausaha Politik Menteri Sumber Manusia dan dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Bin Haji Aman.
Tahun ini, peruntukan PHEKS dinaikkan kepada RM10 juta, peningkatan tertinggi berbanding RM5.8 juta tahun lalu. Sebanyak 551 permohonan diluluskan bernilai RM7.15 juta, termasuk 48 permohonan dari Sabah bernilai RM500,500.

Majlis turut memperkenalkan Kad Pekerja MADANI, satu inisiatif kebajikan baharu untuk ahli kesatuan, selari dengan teras Ihsan dan Kesejahteraan dalam Malaysia MADANI.
Antara kluster bantuan yang disalurkan:
Latihan & Pendidikan: RM5.45 juta
Kajian Kesatuan: RM345,500
Penulisan Ilmiah: RM136,000
Perkakasan Komputer: RM831,107
Pendigitalan Rekod: RM384,599
KESUMA menekankan pentingnya kesatuan yang matang, progresif dan inklusif, serta menyokong Perjanjian Kolektif sebagai tonggak keharmonian industri.
Statistik 2024:
Jumlah kesatuan: 762
Ahli kesatuan: 1,038,435
Kesatuan sektor swasta: 500 (411,520 ahli)
Kesatuan dengan Perjanjian Kolektif: 240
Majlis turut memperlihatkan kesiapsiagaan Sabah dalam melaksanakan Ordinan Buruh Sabah 2025, yang mula berkuat kuasa pada 1 Mei dan menyelaraskan perlindungan pekerja dengan Semenanjung, termasuk isu gaji minimum dan perlindungan wanita hamil.
Inisiatif ini mencerminkan iltizam KESUMA dalam menerapkan nilai Keadilan, Ihsan, dan Kesejahteraan demi kebajikan pekerja dan kemajuan hubungan industri yang adil dan mampan.




