Kuala Lipis, Pahang | 29 Jun 2025 (Ahad)
‎
Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Negeri Pahang bersama kesatuan sekerja tempatan telah berlangsung meriah di Kampung Tempoyang, Kuala Lipis selama dua hari bermula 28 hingga 29 Jun 2025.
‎
Program ini bertujuan mengeratkan hubungan antara kesatuan sekerja, masyarakat dan agensi kerajaan, selain menyemai semangat kesukarelawanan dan meningkatkan kesedaran awam terhadap pentingnya kesatuan sekerja dalam ekosistem pekerjaan negara. Ia turut mencerminkan teras Kesejahteraan, Ihsan dan Keterangkuman di bawah kerangka Malaysia MADANI.
‎
Lebih 1,000 peserta termasuk anggota kesatuan dari seluruh Pahang, agensi-agensi KESUMA dan komuniti setempat hadir memeriahkan program. Antara pengisian hari pertama ialah seperti kenduri rakyat secara gotong-royong dan majlis ilmu yang merangkumi solat berjemaah dan ceramah agama.
‎

‎
Kemuncak program telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Hj. Mohamad, Timbalan Menteri Sumber Manusia. Beliau turut menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah kepada golongan memerlukan dan menyempurnakan simbolik penanaman pokok ‘Hijau Bumi’ sebagai inisiatif kelestarian. Pelbagai aktiviti seperti Seminar Kerjaya Eksklusif untuk pelajar Tingkatan 5, lepasan SPM dan anak yatim anjuran NUTP dengan kehadiran khas Dato’ Captain Hj. Mohd Fauzi bin Hj. Aziz (President Kelab Gang Sekolah), pemeriksaan kesihatan percuma, gunting rambut, servis motosikal RM1.00, sukaneka, Jualan Rahmah dan gotong-royong turut diadakan. Kaunter perkhidmatan KESUMA juga dibuka untuk memberi maklumat kepada penduduk.
‎
Program ini bukan sahaja memperkukuh jalinan antara kesatuan dan masyarakat, malah mencerminkan komitmen KESUMA untuk mendekati rakyat dan memastikan peranan kesatuan terus relevan dan berdaya tahan dalam pembangunan negara.
‎




