
PUTRAJAYA | 7 Januari 2026
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) meneruskan komitmen memperkukuh ekosistem perburuhan negara menerusi Lawatan Kerja YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia bersama YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Sumber Manusia ke tiga agensi teras kementerian iaitu Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) hari ini. Lawatan kerja ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada kepimpinan baharu kementerian terhadap peranan, fungsi serta keutamaan operasi setiap jabatan dalam mendokong agenda reformasi buruh dan perlindungan pekerja negara.
Sepanjang lawatan, YB Menteri dan YB Timbalan Menteri telah menerima taklimat pengenalan daripada pengurusan tertinggi setiap jabatan yang merangkumi hala tuju strategik, pencapaian semasa, cabaran pelaksanaan dasar serta perancangan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Fokus utama lawatan adalah memperkukuh penyelarasan antara dasar kementerian dan pelaksanaan di peringkat jabatan, khususnya dalam aspek hubungan perusahaan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pembangunan kesatuan sekerja yang progresif dan bertanggungjawab. Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan teras Tadbir Urus Baik, Kesejahteraan, Keberdayaan dan Ihsan, bagi memastikan setiap pekerja dilindungi, majikan diperkasa dan hubungan industri kekal harmoni demi kemakmuran ekonomi negara.




