5 aspek bentuk pekerja masa depan

Pentadbir Portal 16 Disember 2019

Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah pekerjaan pada masa hadapan memerlukan pekerja yang memiliki kemahiran interaksi sosial, ekspresi artistik, sikap kolaborasi, empati dan kepintaran. Justeru, titah baginda, keupayaan mengenal pasti jenis pekerjaan baharu bakal wujud adalah maklumat penting, pemahaman bentuk dan tahap kemahiran diperlukan adalah kritikal manakala keupayaan merangka dan menyediakan latihan relevan adalah satu kemestian.

“Pekerjaan baharu memerlukan kemahiran baharu, dan kemahiran baharu memerlukan kaedah pendidikan dan corak latihan yang baharu,” titah baginda ketika melancarkan program Kemahiran Malaysia 2.0 (SKILL MALAYSIA 2.0) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh di Ipoh, semalam. Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran. Sultan Nazrin bertitah, pekerjaan teknikal jenis baharu menekankan aspek kemahiran secara khusus, bukan lagi ijazah akademik bersifat umum kerana kecenderungan permintaan tenaga kerja oleh industri masa kini lebih bergantung kepada kemahiran dimiliki.

Justeru, titah baginda, pendekatan dan kaedah latihan di institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu direkayasa dengan memperkenal amalan terbaik dalam pengurusan, penggubalan dan reka bentuk program serta penyampaian latihan. Baginda bertitah, ia bagi memastikan latihan itu bertenaga dan dinamik dalam menghadapi cabaran perubahan teknologi, peningkatan migrasi pekerja peringkat global dan perubahan iklim dunia.

Titah baginda, tumpuan juga perlu diberikan untukmeningkatkan kebolehan pembelajaran kendiri dengan pendekatan pembelajaran berasaskan masalah, berasaskan projek dan pembelajaran berasaskan pengeluaran. Sultan Nazrin bertitah, kaedah pembangunan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang menjadi asas pembangunan kurikulum latihan, perlu dipertingkatkan selari perkembangan teknologi digital.

“Majikan era Revolusi Industri 4.0 memerlukan pekerja yang mempunyai kemahiran holistik, merangkumi kecerdikan emosi, pemikiran analitikal, aktif dan bijak membuat keputusan, berupaya berfikir secara kreatif lagi kritis serta memiliki daya berkomunikasi secara berkesan,” titah baginda.

Baginda bertitah, program TVET perlu memastikan pelatih dilengkapi aspek kemahiran insaniah, merangkumi aspek kemahiran generik membabitkan elemen kognitif yang berkaitan kemahiran bukan akademik seperti nilai positif, kepemimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan.

Berita Harian 4 Disember 2019

ePLKS@JIM mudahkan lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara

Pentadbir Portal 16 Disember 2019

Jabatan Imigresen memperkenalkan perkhidmatan ePLKS@JIM sebagai inisiatif baharu bagi memudahkan orang awam terutama majikan membuat perlanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing secara atas talian, bermula 1 Januari tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui ePLKS@JIM, majikan akan berurusan terus dengan Jabatan Imigresen dan ini mempercepatkan urusan perlanjutan PLKS tanpa perlu melalui perantara atau vendor yang memberi perkhidmatan sedia ada. “Malah, khidmat ePLKS@JIM ini percuma dan majikan tidak dikenakan bayaran. Majikan hanya perlu membayar levi, proses dan visa seperti mana lanjutan PLKS biasa.

“Bagaimanapun, majikan mempunyai pilihan sama ada menggunakan ePLKS@JIM atau menggunakan khidmat vendor sedia ada untuk membuat lanjutan PLKS pekerja asing mereka,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Imigresen 2019 di Putrajaya, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud. Muhyiddin berkata, majikan digalakkan memanfaatkan ePLKS@JIM bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan Jabatan Imigresen berjalan lancar
dan sempurna. Katanya,orang ramai dan majikan boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai ePLKS@JIM di laman web dan pengumuman daripada Jabatan Imigresen dari semasa ke semasa.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan proses kemasukan warga asing dikembalikan kepada Kementerian Sumber Manusia, beliau berkata, pihaknya boleh meneliti perkara berkenaan yang dicadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM).

“Mereka yang datang ke negara ini sama ada bekerja atau melancong, perlu melalui pintu masuk Malaysia dulu. Jika nak bekerja pun, dia tak boleh terus bekerja dan kena melalui pintu masuk negara berdasarkan dasar dilaksanakan serta undang-undang sedia ada di bawah Jabatan Imigresen.

“Cuma selepas mereka masuk dan mendapat permit untuk bekerja, mereka tertakluk dengan undang-undang pekerjaan dan akta berkaitan di bawah Kementerian Sumber Manusia termasuk pembayaran gaji.

“Tetapi, jika mereka tidak pergi (mendapatkan) pas pekerja dan melampaui tempoh masa bekerja serta tidak pulang ke negara asal, maka Jabatan Imigresen masih ada kuasa menahan serta hukum mereka berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya.

Harian Metro 3 Disember 2019

16,997 anak Johor dapat pekerjaan

Pentadbir Portal 16 Disember 2019

Tidak timbul isu masalah pengangguran apabila seramai 16,997 anak tempatan Johor sudah mendapat pekerjaan dalam pelbagai bidang bermula Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata, seramai 5,149 daripadanya mendapat jawatan profesional seperti pengurus dan juruteknik manakala 11,848 individu lagi mendapat jawatan bukan profesional dan sebagai pekerja sokongan. Jawatan bukan profesional dan pekerja sokongan itu adalah termasuk dalam bidang perkeranian, perkhidmatan dan jualan, pekerja mahir pertanian, perhutanan, perikanan dan pertukangan serta sebagai operator loji,mesin dan pemasangan.

“Statistik terkini ini diperoleh daripada Portal Jobs Malaysia di bawah Kementerian Sumber Manusia dengan penempatan pekerjaan dikategorikan mengikut Malaysia Standard Classification of Occupations (MASCO) dan Malaysia Standard Industrial Classification (MSIC),” katanya menjawab soalan Abd Taib Abu Bakar (BN-Machap) berhubung jumlah pekerjaan yang sudah diisi anak Johor dan jenis pekerjaan diceburi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar semalam.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-Layang-Layang) berhubung bilangan peluang pekerjaan yang berjaya dihasilkan oleh kerajaan negeri melalui Unit Strategik Modal Insan (SMI), Aminolhuda berkata bermula Jun 2018 sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 31,179 peluang pekerjaan. Menurutnya, 14,603 diwujudkan membabitkan kelayakan di peringkat sijil kemahiran, diploma dan ke atas; manakala 16,576 lagi membabitkan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia, Penilaian Menengah Rendah dan ke bawah.

Ia ditawarkan menerusi Siri Program Karnival Kerjaya Johor Bestari yang membabitkan lapan lokasi program, temu duga terbuka,siri lawatan industri, siri perbincangan bersama pusat latihan serta institusi pendidikan tinggi, Program Johor Upskilling & Reskilling, dan lain-lain program.

Harian Metro (Edisi Johor) 2 Disember 2019

BILANGAN PELAWAT

00629577
Hari ini
Semalam
Minggu ini
Jumlah Keseluruhan
645
1115
9963
629577

MEDIA SOSIAL

We use cookies to improve our website. Cookies used for the essential operation of this site have already been set. For more information visit our Cookie policy. I accept cookies from this site.Agree