KSM tidak halang mana-mana pihak nyatakan bantahan pindaan APP 1967

PUTRAJAYA, 10 Dis -- Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak menghalang mana-mana pihak untuk menyatakan bantahan sekiranya tidak bersetuju dengan pindaan Akta Perhubungan Perusahaan (APP) 1967, kata Menterinya M. Kula Segaran.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) agar Dewan Negara tidak meluluskan pindaan undang-undang itu kerana mendakwa ia boleh menghancurkan gerakan kesatuan di Malaysia dan memudaratkan kebajikan pekerja.

“Pandangan MTUC adalah pandangan mereka, itu adalah sistem demokrasi di negara kita.

“Kalau ada sesiapa tidak setuju kepada apa yang kita buat, dia boleh pergi ke Parlimen,” kata Kula Segaran kepada media selepas majlis penyerahan Bantuan Kewangan Khas (Pendidikan Anak) B40 kepada 190 penerima warga KSM di sini, hari ini.

MTUC dilaporkan mengadakan perbincangan dengan ahli Majlis Senator Malaysia semalam sebagai langkah terakhir untuk memohon pindaan undang-undang perburuhan tidak diluluskan.

Mengenai kesatuan pekerja, Kula Segaran berkata daripada 15.5 juta pekerja di Malaysia, hanya kira-kira lima peratus sahaja yang menganggotai kesatuan.

Sementara itu, Kula Segaran berkata KSM akan mencadangkan kepada pihak Istana untuk menganugerahkan pingat kepada golongan B40 yang bekerja di sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) sebagai menghargai jasa mereka yang bersama-sama membangunkan negara.

“Sumbangan mereka adalah setimpal dengan sumbangan orang lain termasuk menteri, maka saya berpendapat kalau boleh, pingat dan darjah can be considered by the Palace supaya perkhidmatan mereka dapat diambil kira,” katanya.

BERNAMA 10 Disember 2019

BILANGAN PELAWAT

00629561
Hari ini
Semalam
Minggu ini
Jumlah Keseluruhan
629
1115
9947
629561

MEDIA SOSIAL

We use cookies to improve our website. Cookies used for the essential operation of this site have already been set. For more information visit our Cookie policy. I accept cookies from this site.Agree