5 aspek bentuk pekerja masa depan

Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah pekerjaan pada masa hadapan memerlukan pekerja yang memiliki kemahiran interaksi sosial, ekspresi artistik, sikap kolaborasi, empati dan kepintaran. Justeru, titah baginda, keupayaan mengenal pasti jenis pekerjaan baharu bakal wujud adalah maklumat penting, pemahaman bentuk dan tahap kemahiran diperlukan adalah kritikal manakala keupayaan merangka dan menyediakan latihan relevan adalah satu kemestian.

“Pekerjaan baharu memerlukan kemahiran baharu, dan kemahiran baharu memerlukan kaedah pendidikan dan corak latihan yang baharu,” titah baginda ketika melancarkan program Kemahiran Malaysia 2.0 (SKILL MALAYSIA 2.0) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh di Ipoh, semalam. Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran. Sultan Nazrin bertitah, pekerjaan teknikal jenis baharu menekankan aspek kemahiran secara khusus, bukan lagi ijazah akademik bersifat umum kerana kecenderungan permintaan tenaga kerja oleh industri masa kini lebih bergantung kepada kemahiran dimiliki.

Justeru, titah baginda, pendekatan dan kaedah latihan di institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu direkayasa dengan memperkenal amalan terbaik dalam pengurusan, penggubalan dan reka bentuk program serta penyampaian latihan. Baginda bertitah, ia bagi memastikan latihan itu bertenaga dan dinamik dalam menghadapi cabaran perubahan teknologi, peningkatan migrasi pekerja peringkat global dan perubahan iklim dunia.

Titah baginda, tumpuan juga perlu diberikan untukmeningkatkan kebolehan pembelajaran kendiri dengan pendekatan pembelajaran berasaskan masalah, berasaskan projek dan pembelajaran berasaskan pengeluaran. Sultan Nazrin bertitah, kaedah pembangunan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang menjadi asas pembangunan kurikulum latihan, perlu dipertingkatkan selari perkembangan teknologi digital.

“Majikan era Revolusi Industri 4.0 memerlukan pekerja yang mempunyai kemahiran holistik, merangkumi kecerdikan emosi, pemikiran analitikal, aktif dan bijak membuat keputusan, berupaya berfikir secara kreatif lagi kritis serta memiliki daya berkomunikasi secara berkesan,” titah baginda.

Baginda bertitah, program TVET perlu memastikan pelatih dilengkapi aspek kemahiran insaniah, merangkumi aspek kemahiran generik membabitkan elemen kognitif yang berkaitan kemahiran bukan akademik seperti nilai positif, kepemimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan.

Berita Harian 4 Disember 2019

BILANGAN PELAWAT

00697423
Hari ini
Semalam
Minggu ini
Jumlah Keseluruhan
782
1300
3268
697423

MEDIA SOSIAL

We use cookies to improve our website. Cookies used for the essential operation of this site have already been set. For more information visit our Cookie policy. I accept cookies from this site.Agree