ePLKS@JIM mudahkan lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara

Jabatan Imigresen memperkenalkan perkhidmatan ePLKS@JIM sebagai inisiatif baharu bagi memudahkan orang awam terutama majikan membuat perlanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing secara atas talian, bermula 1 Januari tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui ePLKS@JIM, majikan akan berurusan terus dengan Jabatan Imigresen dan ini mempercepatkan urusan perlanjutan PLKS tanpa perlu melalui perantara atau vendor yang memberi perkhidmatan sedia ada. “Malah, khidmat ePLKS@JIM ini percuma dan majikan tidak dikenakan bayaran. Majikan hanya perlu membayar levi, proses dan visa seperti mana lanjutan PLKS biasa.

“Bagaimanapun, majikan mempunyai pilihan sama ada menggunakan ePLKS@JIM atau menggunakan khidmat vendor sedia ada untuk membuat lanjutan PLKS pekerja asing mereka,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Imigresen 2019 di Putrajaya, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud. Muhyiddin berkata, majikan digalakkan memanfaatkan ePLKS@JIM bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan Jabatan Imigresen berjalan lancar
dan sempurna. Katanya,orang ramai dan majikan boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai ePLKS@JIM di laman web dan pengumuman daripada Jabatan Imigresen dari semasa ke semasa.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan proses kemasukan warga asing dikembalikan kepada Kementerian Sumber Manusia, beliau berkata, pihaknya boleh meneliti perkara berkenaan yang dicadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM).

“Mereka yang datang ke negara ini sama ada bekerja atau melancong, perlu melalui pintu masuk Malaysia dulu. Jika nak bekerja pun, dia tak boleh terus bekerja dan kena melalui pintu masuk negara berdasarkan dasar dilaksanakan serta undang-undang sedia ada di bawah Jabatan Imigresen.

“Cuma selepas mereka masuk dan mendapat permit untuk bekerja, mereka tertakluk dengan undang-undang pekerjaan dan akta berkaitan di bawah Kementerian Sumber Manusia termasuk pembayaran gaji.

“Tetapi, jika mereka tidak pergi (mendapatkan) pas pekerja dan melampaui tempoh masa bekerja serta tidak pulang ke negara asal, maka Jabatan Imigresen masih ada kuasa menahan serta hukum mereka berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya.

Harian Metro 3 Disember 2019

BILANGAN PELAWAT

00697208
Hari ini
Semalam
Minggu ini
Jumlah Keseluruhan
567
1300
3053
697208

MEDIA SOSIAL

We use cookies to improve our website. Cookies used for the essential operation of this site have already been set. For more information visit our Cookie policy. I accept cookies from this site.Agree