Jawatankuasa babit ekonomi gig fokus kebajikan, cegah eksploitasi

ALOR SETAR: Jawatankuasa khas yang ditubuh kerajaan bagi merangka penyelesaian jangka panjang isu berkaitan ekonomi gig akan menumpukan terhadap usaha menjaga kebajikan pekerja terbabit dan mengelak mereka dieksploitasi majikan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata selain mengelakkan unsur penganiayaan kepada pekerja, jawatankuasa itu akan mencari jalan bagi mewujudkan situasi ‘menang-menang’ antara pekerja dan majikan.

“Rundingan antara kementerian terbabit masih dijalankan dan belum ada kesimpulan boleh dibuat.

“Bagaimanapun, kita akan cuba sebaik mungkin untuk mencari jalan penyelesaian bagi memastikan pekerja dalam sektor ini tidak dieksploitasi majikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengayaan Buruh dan Profesionalisme (LEAP) di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah kerajaan melindungi kebajikan pekerja yang terbabit dalam ekonomi gig dan mengelak isu membabitkan pekerja sebuah syarikat penghantaran makanan sebelum ini daripada berulang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas itu yang dianggotai Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Ekonomi gig merujuk kepada kegiatan ekonomi yang dijalankan individu dengan cara menjual perkhidmatan kepada orang lain dan dijalankan sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa.

Mengenai seminar LEAP dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dan Pembangunan Sumber Manusia Bhd itu, Mahfuz berkata, ia bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan tahap profesionalisme pekerja.

“Seminar ini bagi mempersiapkan pekerja dengan perubahan persekitaran pekerjaan selain memastikan pekerjaan mereka terus kekal relevan walaupun berlaku perubahan arus perdana teknologi selaras dengan Revolusi Industri 4.0,” katanya.

-Berita Harian 2 Disember 2019

BILANGAN PELAWAT

00809471
Hari ini
Semalam
Minggu ini
Jumlah Keseluruhan
552
1198
4673
809471

MEDIA SOSIAL

We use cookies to improve our website. Cookies used for the essential operation of this site have already been set. For more information visit our Cookie policy. I accept cookies from this site.Agree