Majlis Perhimpunan dan Amanat Tahun Baharu Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja 2023

PUTRAJAYA, 17 Jan - Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan (JHEKS) Encik Kamal bin Pardi mengingatkan warga kerja jabatan supaya tidak terus mengamalkan budaya selesa. Seluruh warga kerja digesa untuk terus melaksankana perubahan dalam pentadbiran negara, sejajar dengan amanat YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berucap di dalam Majlis Penyampaian Amanat Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) 2023 di sini semalam. Turut hadir di dalam majlis tersebut, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS), Encik Roslee Sabaruddin bin Abu.

Beliau juga mengingatkan kepada seluruh warga kerja JHEKS supaya menggalas tanggungjawab dengan penuh amanah disamping turut menggunakan kebijaksanaan sebaiknya dalam ikhtiar meningkatkan kecekapan menyelesaikan tugasan yang diberikan.

“Setiap kebertanggungjawaban kepada perubahan perlu digalas dan diterajui oleh kita semua. Perlu lebih demokratik tanpa mengorbankan prinsip yang mengutamakan nilai akhlak dan moral yang disulami oleh etika dan adab sopan. Perihal ini mustahak untuk ditekankan bagi mewujudkan persekitaran yang lebih demoktratik dan berakauntabiliti.,”

Encik Kamal bin Pardi juga berkata jawatan dan pangkat yang disandang tidak sepatutnya menjadikan mana-mana individu menjadi takbur dan sombong terutamanya Ketika berkomunikasi dengan seluruh warga kerja jabatan.

“Jika ini berlaku, ia akan menjadikan soal kepimpinan dan yang dipimpin menjadi bejat kerana tatakelola yang seharusnya diterap dengan budi tidak lagi diamalkan. Ia akan menjadikan segalan ikatan akan terurai. Segala jambatan akan putus. Segala simpulan akan lepas. Kecuali yang diikat, dihubung dan disimpul dengan budi,” katanya.

Dalam usaha menambahbaik perkhidmatan, beliau ingin mengambil pendekatan yang lebih kepada manusiawi (humanitarian ideal) dan tidak lekas menjatuhkan hukuman tanpa cuba memahami keadaan sebenar yang sedang berlaku.

Beliau berkata JHEKS merancang untuk terlibat dalam melaksanakan inisiatif bersifat hilirisasi seperti turun padang Bersama-sama kesatuan sekerja. Ini merupakan rentetan dari program Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja (GPKS) yang menerima sambutan baik tahun lepas dengan penekanan yang lebih menjurus kepada mendekati golongan sasar.

Encik Kamal bin Pardi dalam pada itu turut mengingatkan kepada seluruh warga jabatan untuk terus menyemai budaya ilmu dan dahagakan ilmu untuk memperkasakan bidang kepakaran masing-masing. Pada masa yang sama, beliau turut menyampaikan pesanan agar ilmu kepakaran dikongsikan Bersama untuk difahami agar ia tidak membawa kepada keadaan Barbarism of Specialization seperti yang pernah dibincangkan di dalam buku The Revolt of The Masses oleh Jose Ortega.

Beliau juga berharap agar seluruh warga kerja jabatan dapat bekerjasama dalam menunaikan Amanah yang dipertanggungjawabkan untuk membawa ke arah Masyarakat Madani dalam sebuah negara Baldatun Toibah Wa Rabbun Ghofur yang diilhamkan oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim.

TEKS UCAPAN KETUA PENGARAH KESATUAN SEKERJA MALAYSIA SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN DAN AMANAT TAHUN BAHARU JHEKS TAHUN 2023 PADA 17 JANUARI 2023.

Terima kasih kepada semua urusetia yang telah bertungkus lumus menjayakan program pada hari ini iaitu Perhimpunan dan amanat Tahun Baharu 2023 dan Mesyuarat-Mesyuarat utama JHEKS bagi awal tahun ini. Belum ketinggalan untuk saya mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2023 kepada semua warga JHEKS. Saya mewakili warga JHEKS keseluruhannya juga belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Datang dan Selamat melaksanakan tugas bersama-sama kita semua di Kementerian Sumber Manusia untuk YB Tuan Sivakumar, Menteri Sumber Manusia dan YB Tuan Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Sumber Manusia. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga JHEKS yang telah sama-sama menjayakan visi dan misi jabatan sepanjang tahun 2022 yang lalu. Usaha gigih tuan/puan dapat saya lihat terutamanya bila saya terlibat sama dalam melaksana dan menjayakan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang sama ada di peringkat ibu pejabat mahu pun peringkat negeri. Saya bangga dengan iltizam dan kerja keras serta semangat sepasukan yang ditunjukkan oleh kita semua. Saya berdoa agar kita semua terus dikurnia kesihatan yang terbaik kepada kita bagi membolehkan kita meneruskan usaha-usaha murni di sepanjang tahun 2023 ini. Selamat Menyambut Tahun Baru Cina dan Thaipusam kepada Warga JHEKS yang bakal meraikannya tidak lama lagi.

Bulan Februari tiga tahun yang lalu, begitu cepat meninggalkan kita, di mana pada ketika itu saya telah diamanahkan untuk menerajui sebuah jabatan yang tidak terfikir akan menerajuinya. Diam tak diam, pejam celik SIK BERASA bak kata orang Sarawak, NDA TERASA bak kata orang Sabah. Lebih setahun kita semua menghadapi kehidupan dalam suasana yang cukup berbeza. Bertapuk di rumah atau pejabat melaksanakan tugasan harian. Kini keadaan kembali normal tetapi dengan suasana yang tetap berjaga-jaga kerana varian-varian baharu susulan covid 19 mulai menyerang semula tanpa ada tanda-tanda yang ketara. Diharapkan kita semua terus berhati-hati dengan keadaan ini.

Berakhir tahun 2022, perubahan pada pucuk kepimpinan telah berlaku di negara ini dengan wujudnya Kerajaan Perpaduan gabungan beberapa buah parti politik. Kita semua tidak menjangka keadaan seumpama ini berlaku. Sebagai penjawat Awam, kitaharus dan wajib akur kerana kita berkhidmat kepada kerajaan sedia ada atau Government of the Day. We are the Obedient Officers. Dengan berlakunya perubahan pada peringkat kepimpinan negara, mahu tidak mahu kita perlu menerima apa-apa dasar baharu yang diperkenalkan. Sudah pasti Kepimpinan Negara berhasrat untuk membawa perubahan kepada negara Malaysia tercinta ke arah yang lebih baik. Pastinya dalam Perkhidmatan Awam juga perlu ada Reform dalam Sistem Penyampaian Perkhidmatan. Kepimpinan Negara terus mengingatkan agar warga perkhidmatan awam tidak mengamalkan budaya selesa sebaliknya bertekad untuk terus melaksanakan perubahan dalam pentadbiran negara.

YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam amanat beliau ada menyatakan:

“Sudah mantap sistem yang bergerak puluhan tahun tapi harus ada kesediaan rendah diri untuk mengakui, ada kekuatannya tetapi bila kita letak tokoh baharu…harus ada hasrat bawa perubahan…tidak harus kita benarkan ada budaya selesa iaitu culture of contentment yang menggigit kita iaitu budaya merasa berada dalam Comfort Zone, angkuh dan tidak mahu melakukan perubahan. Beliau juga menegaskan bahawa sudah menjadi kebertanggungjawaban untuk kita semua sebagai penjawat awam terus memperjuangkan prinsip-prinsip keadilan. Kita semua perlu lebih Optimis dan bukannya pesimis dan pemisis. Optimis dengan keyakinan boleh melakukan perubahan yang lebih baik dengan tidak mengetepikan Kuasa Allah yang membantu kita semua. Selain berusaha gigih, sama-samalah kita perbanyakkan doa agar usaha-usaha kita mendapat rahmat dan bantuan ILahi.

Tanggungjawab kita semua adalah untuk merencana supaya memanfaatkan Walak dan kebijaksanaan untuk memperbaiki keadaan. Berikhtiar untuk mencari penyelesaian dan Reform perubahan dengan sedaya upaya. Sama-sama kita semua merenung dan berfikir sejenak adakah kita telah berada pada tingkat sedemikian. Kita dibayar gaji atau upah adalah untuk memastikan setiap tugasan dan tanggungjawab kita berbaloi atau setimpal dengan upah yang dibayar. Setiap detik masa yang diperuntukkan di pejabat, adakah kita telah memanfaatkannya dengan sebaik mungkin. Kita diberi masa samada dari jam 7.30 pagi sehinggalah jam 9 pagi untuk hadir bertugas dan melaksanakan tugasan kita sebaik kita punch in sehinggalah kita dibenarkan pulang mulai jam 4.30 petang sehingglah ke pukul 6 petang. Sama-sama kita berfikir apa yang telah kita lakukan sepanjang tempoh masa bekerja berkenaan. Adakah kita telah memanfaat tempoh waktu itu dengan tugasan harian? Atau adakah perkara-perkara peribadi yang kita buat di dalam waktu bekerja sama atau lebih masanya yang diambil. Daripada kita membeli makanan untuk sarapan pagi, waktu bersarapan sama di café atau di pantry, waktu kita keluar membeli makanan tenghari atau kita menguruskan anak yang bersekolah. Adakah kita laksanakan di dalam waktu kerja atau di luar waktu kerja. Itu tidak lagi kita diambil kira waktu yang kita gunakan untuk melayan atau melayari media social kita, Facebook, WhatsApp, Youtube dan seumpamanya. Pernah atau tidak kita menghitung waktu-waktu urusan peribadi berkenaan. Berapa jumlahnya dalam sehari, seminggu, sebulan atau setahun? Jika waktu-waktu itu lebih kurang sama dengan tempoh masa kita melakukan tugasn-tugasan harian, terfikirkah kita bagaimana dengan upah atau gaji yang kita terima selama ini yang kita berikan untuk makan minum anak-anak dan keluarga kita?  

Bagaimana pula pergaulan kita dengan rakan sekerja kita. Bagaimana hubungan kita dengan penyelia kita. Manakala sebagai pemimpin daripada Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah, Pengarah Bahagian dan Pengarah Negeri pula, bagaimana hubungan kita dengan warga kerja yang lain. Hablum minallah hablum minnans adakah terjaga dengan rapi?

Saya ingin mengingatkan kepada diri saya sendiri dan pastinya kepada kepimpinan yang lain juga bahawa setiap kebertanggungjawaban kepada perubahan perlu digalas dan diterajui oleh kita semua. Perlu lebih demokratik. Perlu berpegang kepada prinsip. Prinsip sahaja tidak mencukupi. Ia perlu ditambah dengan nilai dan akhlaq. Moral dan etika ditambah dengan adab sopan perlu diberi keutamaan. Ini akan mewujudkan Demokrasi yang lebih berakauntabiliti. Kita perlu jujur dalam melaksanakan amanah. Jawatan dan pangkat yang disandang jangan sampai kita menjadi takbur dan sombong. Cara kita berbicara pula jangan sampai seolah-olah cuba menghina dan menjatuhkan. Jika ini berlaku, ia akan menjadikan soal kepimpinan dan yang dipimpin menjadi BEJAT kerana TATAKELOLA yang seharusnya diterap dengan BUDI tidak lagi diamalkan. Ia akan menjadikan SEGALA IKATAN AKAN TERURAI. SEGALA JAMBATAN AKAN PUTUS. SEGALA SIMPULAN AKAN LEPAS. KECUALI YANG DIIKAT, DIHUBUNG DAN DISIMPUL DENGAN BUDI.

Dalam kita melaksanakan tugasan harian, pendekatan dan sanad yang kita sandarkan bukan setakat mahu menghukum semata-mata tetapi lebih kepada bersifat HUMANITARIAN IDEAL atau lebih kepada PENDEKATAN MANUSIAWI. Intelektual dan akdemik sahaja tidak mencukupi apabila kita berhadapan dengan stakeholder atau pelanggan kita. Sebahagian daripada Pegawai dan exco serta ahli Kesatuan Sekerja yang kita temui mungkin kurang memahami apa yang seharusnya dilakukan dalam menerajui kepimpinan kesatuan pekerja berkenaan. Ini lah tanggungjawab kita sebagai badan yang diamanahkan untuk mengawal selia mereka. Sebahagian mereka mungkin tidak mendapat Pendidikan yang tinggi. Oleh itu kita perlu mengurangkan keangkuhan, merendahkan egois kita, merendah diri dan perlu lebih tawadduk. Ini yang kita namakan WISDOM OF HUMILITY. Ianya adalah sesuatu yang endless, tiada penghujung. Saya nyatakan kita perlu lebih tawadduk kerana dengan adanya mereka, adalah jabatan yang kita berkhidmat sekarang. Kita perlu menyantuni mereka dengan sebaik mungkin. Pendekatan Penguatkuasaan boleh dilaksanakan setelah kita bersungguh-sungguh melaksanakan tugasan kita.

Sepanjang tahun 2022, banyak aktiviti dan program yang kita laksanakan telah menjurus terus kepada kumpulan sasar kita dan program sedemikian seharusnya diteruskan dengan beberapa penambahbaikan. Perkara ini telah kita bincang dalam Persidangan Pegawai Kanan pada akhir tahun lepas. Insyaallah dengan peruntukan Program Khusus yang kita perolehi lagi tahun ini bagi aktiviti-aktiviti kesatuan sekerja yang sebelum ini lebih popular dengan sebutan Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja GPKS, PENDEKATAN HILIRISASI turun padang bersama Kesatuan Sekerja akan dilaksanakan. Walaupun ada segelintir kecil yang kurang menyenangi usaha-usaha sedemikian, namun rata-rata stakeholder kita begitu teruja dengan pendekatan-pendekatan baharu yang kita laksanakan kerana ia lebih mendekati golongan sasar dan menunjukkan komitmen kita bersama. Apalah erti hidup tanpa kemanusiaan dan Rahmah tanpa nilai dan akhlaq. Insyaallah dengan pendekatan sedemikian dan pendekatan-pendekatan lain yang telah dan akan kita laksanakan, hasrat kita untuk memastikan keanggotan kesatuan sekerja terus meningkat akan kesampaian. Insyaallah.

Bagi memastikan Warga JHEKS terus unggul dalam bidang kerjaya masing-masing, pastinya perlu diperkasakan dengan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan tugas yang berkaitan. Kita mahu ramai di antara kita yang menjadi expert atau pakar rujuk pada masa kini dan akan datang. Budaya membaca dan dahagakan ilmu perlu diterap dan digarap agar kita semua menjadi masyarakat yang bertamaddun. Saya berhasrat untuk menjadikan JHEKS akan terus disegani dengan mempunyai ramai expert tetapi expert atau specialization yang dimiliki bukanlah sekadar BABARISM OF SPECIALITION semata-mata, tetapi expert yang turut disertakan dengan nilai-nilai kemanusiaan, dilengkapi dengan akhlak mulia dan adab. Ini akhirnya akan menjadikan warga JHEKS lebih berilmu, berpengetahuan dan mempunyai CRITICAL THINKING yang tidak menerima sesuatu dengan sembrono dan tidak menyebar maklumat sewenang-wenangnya.

Selalu kita mendengar hadith Nabi Kullu Kum Ro’in Wa KUllu Kum Mas ulin Ma Ro iyatin (Hadis Riwayat Muslim no. 3408) Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipersoalkan dan dipertanggungjawakan terhadap apa yang dipimpin. Di sinilah kita melihat bahawa terdapatnya unsur-unsur Check and Balance yang kita namakan Democratic Accountability atau Demokrasi Kebertanggungjawaban. Sebagai pemimpin, sama-samalah kita melaksanakan kepimpinan kita dengan penuh kebijaksanaan, kesabaran, berhikmah dan Rahmah. Dengan cara sedemikian, kita akan terus sedar bahawa kepimpinan kita itu sentiasa diperhati, sentiasa diperhalusi, sentiasa disemak oleh pihak-pihak lain.

Sekiranya kita semua dapat melaksanakan apa yang telah saya nyatakan dari awal perenggan hingga ke akhirnya, Insyallah kita akan menjadi MASYARAKAT MADANI dalam sebuah negara Baldatun Toibah Wa Rabbun Ghofur, yang dilhamkan oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri kita sekarang dalam sebuah buku yang dikarang pada tahun 1997 lagi.

Sekian, sedikit peringatan untuk diri ini sendiri dan sekiranya ia bermanafaat, maka jadikanlah juga peringatan ini untuk tuan-tuan dan puan-puan warga JHEKS yang saya sayangi dan saya hormati. Semoga beroleh kebaikan daripadanya.

Nota: Sebahagian teks ucapan ini adalah petikan-petikan ucapan YAB Perdana Menteri Malaysia ke10 dalam majlis-majlis yang dihadiri.

Kamal Pardi

Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja

Malaysia.

17 JANUARI 2023

 

Hubungi Kami

Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Malaysia,
Kementerian Sumber Manusia,
Aras 2, Blok D4, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62530 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya.

  03-8886 5499
  03-8889 2429
  jheks@mohr.gov.my

 

BILANGAN PELAWAT

01528968
Hari ini
Semalam
Minggu ini
Jumlah Keseluruhan
299
877
299
1528968

MEDIA SOSIAL

We use cookies to improve our website. Cookies used for the essential operation of this site have already been set. For more information visit our Cookie policy. I accept cookies from this site.Agree