FAQ MESYUARAT AGUNG/PERSIDANGAN PERWAKILAN DAN PEMILIHAN PEGAWAI SEPANJANG TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN PEMULIHAN (PKPP)

FAQ MESYUARAT AGUNG/PERSIDANGAN PERWAKILAN DAN PEMILIHAN PEGAWAI SEPANJANG TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN PEMULIHAN (PKPP)

 

1. Bolehkah kesatuan mengadakan Mesyuarat Agung/ Persidangan Perwakilan dan Pemilihan Pegawai seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)?

Mesyuarat Agung/Persidangan Perwakilan dan Pemilihan Pegawai boleh dijalankan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun pelaksanaanya perlu mematuhi Peraturan/Perlembagaan Kesatuan serta mematuhi segala Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa.


Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB)

Manakala bagi kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB), pelaksanaanya perlu mematuhi sepenuhnya tempoh masa PKPDB, SOP dan arahan MKN dari semasa ke semasa.


2. Adakah Mesyuarat Agung/Persidangan Perwakilan dan Pemilihan Pegawai yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPP hanya terhad kepada 250 orang ahli sahaja?

Mesyuarat Agung/Persidangan Perwakilan dan Pemilihan Pegawai boleh dilaksanakan melebihi had 250 orang, namun tertakluk kepada saiz ruang serta penjarakan fizikal sebagaimana yang telah ditetapkan oleh MKN melalui SOP Am Pelaksanaan Majlis Kerajaan Dan Swasta. Walau bagaimanapun ia tertakluk kepada arahan semasa MKN dan negeri.


3. Apakah syarat-syarat atau prosedur-prosedur yang perlu dilakukan untuk mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara dalam melaksanakan Mesyuarat Agung/Persidangan Perwakilan dan Pemilihan Pegawai?

Kesatuan boleh merujuk ke laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara di www.mkn.gov.my bagi maklumat lanjut. Antara syarat- syarat am SOP tersebut adalah: -

a) Kaunter saringan kesihatan hendaklah diwujudkan di pintumasuk bertujuan memastikan bilangan kehadiran, membuat pemeriksaan suhu badan, saringan gejala batuk, sakit tekak, selsema dan sesak nafas. Peserta dengan suhu badan melebihi 37.5 Celsius atau bergejala tidak dibenarkan masuk.
b) Penganjur, urusetia dan penceramah juga perlu menjalani saringan kesihatan.
c) Petugas di kaunter saringan kesihatan juga perlu memastikan para peserta membersihkan tangan (hand sanitizer) dan merekod kehadiran peserta.
d) Semasa para peserta menunggu giliran di kaunter saringan, penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter mesti dipatuhi.
e) Jawatankuasa penganjur, urusetia, penceramah dan peserta digalakkan memakai pelitup muka (face mask).
f) Mengawal pintu masuk dan kehadiran peserta yang akan masuk.
g) Kehadiran peserta hendaklah tertakluk kepada saiz keluasan ruang dengan penjarakan fizikal.

 

4. Bolehkah kesatuan menangguhkan Mesyuarat Agung Induk atau Cawangan akibat kebimbangan dengan penularan COVID-19?

Kesatuan hendaklah mengadakan Mesyuarat Agung/Mesyuarat Agung Luar Biasa SEBELUM 31.12.2020 sebagaimana Peraturan/Perlembagaan Kesatuan mereka dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh MKN. Walaubagaimanapun Mesyuarat Agung sama ada Induk atau Cawangan boleh ditangguhkan sekiranya Majlis Jawatankuasa Kerja Kesatuan memutuskan: -
a) Mesyuarat Agung yang akan dilaksanakan di dalam tempoh PKPP boleh menyebabkan jangkitan kepada ahli-ahli;
b) Terdapat ahli-ahli kesatuan yang berada di dalam Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB); dan
c) Terdapat arahan spesifik semasa daripada MKN dan negeri.


5. Bolehkah kesatuan membuat Mesyuarat Agung/Persidangan Perwakilan dan Pemilihan Pegawai secara maya dalam tempoh PKPP (Google, skype, zoom, room etc)?

Mesyuarat Agung/Persidangan Perwakilan dan Pemilihan Pegawai semasa tempoh PKPP boleh dibuat secara maya sekiranya dibenarkan dan tidak bercanggah dengan Peraturan/Perlembagaan Kesatuan. Pada masa yang sama kesatuan hendaklah memastikan peraturan-peraturan kesatuan seperti berikut dipatuhi:-

a) Pemilihan Pegawai (Undi Rahsia);
b) Korum yang mencukupi; c) Pengesahan kehadiran; d) Perbahasan usul;
e) Undian memilih pemeriksa undi;
f) Undian memilih juruaudit dalam; dan
g) Perkara-perkara yang berkaitan dengan seksyen 40 Akta
Kesatuan Sekerja 1959.


6. Bolehkah kesatuan membuat mesyuarat AJK/ MJK/ Exco secara maya (Google, Skype, Zoom, Room etc) dalam tempoh PKPP?

Mesyuarat AJK/ MJK/ Exco adalah digalakkan dibuat secara maya menggunakan platform Google, Skype, Zoom, Room ataupun apa-apa medium elektronik lain dalam tempoh PKPP, namun Kesatuan perlu 
memastikan: -

a) Korum kehadiran mesyuarat adalah mencukupi sebagaimana yang ditetapkan di dalam Peraturan/Perlembagaan Kesatuan.
b) Sebarang keputusan yang dibuat melalui undian perlulah mematuhi Peraturan/Perlembagaan Kesatuan.
c) Menyediakan minit mesyuarat.
d) Mengikut tempoh yang ditetapkan sebagaimana Peraturan/Perlembagaan Kesatuan.


7. Bolehkah kesatuan mengadakan aktiviti-aktiviti kesatuan seperti bengkel, kursus dan seminar?

Kesatuan boleh mengadakan aktiviti-aktiviti kesatuan dengan syarat mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh MKN dari semasa ke semasa.


8. Perlukah kesatuan menghantar Penyata Tahunan (Borang N) sepanjang tempoh PKPP ini?

Kesatuan perlu mengemukakan Penyata Tahunan (Borang N) bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2020 sebelum 01 Oktober 2020 sebagaimana kehendak seksyen 56 Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Pihak kesatuan hendaklah menggunakan sepenuhnya sistem e-TUIS (https://e-tuis.jheks.gov.my/) yang disediakan oleh Jabatan dalammelaksanakan tindakan ini.

 

9. Sekiranya Penyata Tahunan (Borang N) tidak dapat dikemukakan sebelum 01 Oktober 2020, disebabkan Kesatuan menghadapi kekangan masa untuk menyediakannya adakah Kesatuan boleh diambil tindakan?

Kegagalan mengemukakan Penyata Tahunan (Borang N) dalam tempoh yang ditetapkan adalah merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 56(4) Akta Kesatuan Sekerja 1959.

 

10. Bolehkah kesatuan ditubuhkan dan didaftarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)?

Kesatuan boleh ditubuhkan dan didaftarkan sepanjang PKPP dengan syarat perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh MKN. Kesatuan hendaklah mengemukakan permohonan pendaftaran melalui https://e-tuis.jheks.gov.my/.

 

11. Dimanakah saya boleh mendapatkan maklumat-maklumat lanjut berkaitan hal ehwal kesatuan sekerja?

Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman sesawang https://jheks.mohr.gov.my/ atau hadir di Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja yang berhampiran dengan mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh MKN.

 

JABATAN HAL EHWAL KESATUAN SEKERJA MALAYSIA
Tarikh : 12 OKTOBER 2020

Hubungi Kami

Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Malaysia,
Kementerian Sumber Manusia,
Aras 2, Blok D4, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62530 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya.

  03-8886 5499
  03-8889 2429
  jheks@mohr.gov.my

 

BILANGAN PELAWAT

00352886
Hari ini
Semalam
Minggu ini
Jumlah Keseluruhan
1040
1359
11478
352886

MEDIA SOSIAL

We use cookies to improve our website. Cookies used for the essential operation of this site have already been set. For more information visit our Cookie policy. I accept cookies from this site.Agree