FAQ MESYUARAT AGUNG/PERSIDANGAN PERWAKILAN DAN PEMILIHAN PEGAWAI DALAM TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) (DIKEMASKINI PADA 3.6.2021)

 

    1. Bolehkah kesatuan mengadakan Mesyuarat Agung / Persidangan Perwakilan dan Pemilihan Pegawai secara bersemuka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?


      Mesyuarat Agung/Persidangan Perwakilan dan Pemilihan Pegawai TIDAK BOLEH DIADAKAN SECARA BERSEMUKA dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


    2. Berikutan Standard Operating Procedure (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) melarang mesyuarat dibuat secara bersemuka, bolehkah kesatuan mengadakan Mesyuarat Agung / Persidangan Perwakilan secara atas talian (online) (Google, Skype, Zoom, Room etc)?

      Kesatuan boleh mengadakan Mesyuarat Agung / Persidangan Perwakilan secara atas talian (online):

      • sekiranya dipersetujui oleh Majlis Jawatankuasa Kerja/ Majlis Tertinggi kesatuan;
      • Tidak bercanggah dengan Peraturan/Perlembagaan Kesatuan; dan
      • Mematuhi SOP MKN.

      Pada masa yang sama kesatuan hendaklah memastikan tatacara perjalanan Mesyuarat Agung / Persidangan Perwakilan dipatuhi selaras dengan peraturan-peraturan kesatuan seperti berikut:

      1. Korum yang mencukupi;
      2. Pengesahan kehadiran;
      3. Perbahasan usul;
      4. Undian memilih Pemeriksa Undi; dan
      5. Undian memilih Juruaudit Dalam

        Bagi PEMILIHAN PEGAWAI dan Perkara-perkara yang dinyatakan di bawah seksyen 40 Akta Kesatuan Sekerja 1959, ia hendaklah dijalankan secara UNDI RAHSIA mengikut kaedah-kaedah yang telah ditentukan oleh Perlembagaan Kesatuan.


    3. Kesatuan sepatutnya menjalankan Mesyuarat Agung / Persidangan Perwakilan dan Pemilihan Pegawai pada tahun 2020. Walau bagaimanapun, disebabkan PKP belum berakhir, kesatuan tidak dapat menjalankannya sehingga kini. Adakah kesatuan boleh menangguhkan Mesyuarat Agung / Persidangan Perwakilan dan Pemilihan Pegawai yang sepatutnya dijalankan pada tahun 2020 sehingga PKP berakhir?

      Kesatuan boleh menangguhkan Mesyuarat Agung/ Persidangan Perwakilan dan Pemilihan Pegawai yang sepatutnya diadakan pada tahun 2020 dalam tempoh PKP. Penangguhan tersebut hendaklah diputuskan melalui MESYUARAT MAJLIS JAWATANKUASA KERJA / MAJLIS TERTINGGI KESATUAN dan hendaklah DIMAKLUMKAN KEPADA SEMUA ANGGOTA BERHAK.

      Walau bagaimanapun, Kesatuan DIGALAKKAN untuk mengadakan Mesyuarat Agung / Persidangan Perwakilan secara atas talian (online) sekiranya tidak bercanggah dengan Perlembagaan/ Peraturan Kesatuan.

    4. Adakah kesatuan boleh menjalankan Mesyuarat Majlis Jawatankuasa Kerja/ Majlis Tertinggi secara atas talian (online) (Google, Skype, Zoom, Room etc) dalam tempoh PKP?

      Mesyuarat Majlis Jawatankuasa Kerja/ Majlis Tertinggi adalah DIGALAKKAN dibuat secara atas talian (online) dengan menggunakan platform Google, Skype, Zoom, Room ataupun apa-apa medium elektronik lain dalam tempoh PKP. Walau bagaimanapun, Kesatuan perlu memastikan: -

      1. Korum kehadiran mesyuarat adalah mencukupi sebagaimana yang ditetapkan di dalam Peraturan/Perlembagaan Kesatuan;
      2. Sebarang keputusan yang dibuat melalui undian hendaklah mematuhi Peraturan/Perlembagaan Kesatuan; dan
      3. Penyediaan minit mesyuarat.


    5. Disebabkan Mesyuarat Agung / Persidangan Perwakilan tidak boleh diadakan secara bersemuka dalam tempoh PKP, bolehkah kesatuan menangguhkannya sehingga ianya dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)?

      Kesatuan boleh menangguhkan Mesyuarat Agung/ Persidangan Perwakilan dan Pemilihan Pegawai dalam tempoh PKP. Penangguhan tersebut hendaklah diputuskan melalui MESYUARAT MAJLIS JAWATANKUASA KERJA / MAJLIS TERTINGGI KESATUAN dan hendaklah DIMAKLUMKAN KEPADA SEMUA ANGGOTA BERHAK.

      Kesatuan adalah DIGALAKKAN untuk menggunakan kaedah-kaedah yang bersesuaian bagi mengadakan Mesyuarat Agung / Persidangan Perwakilan dan Pemilihan Pegawai berikutan keadaaan pandemik Covid-19 yang tidak dapat di jangka bila akan berakhir.


      Bagi PEMILIHAN PEGAWAI dan Perkara-perkara yang dinyatakan di bawah seksyen 40 Akta Kesatuan Sekerja 1959, ia hendaklah dijalankan secara UNDI RAHSIA mengikut kaedah-kaedah yang telah ditentukan oleh Perlembagaan Kesatuan.

    6. Adakah kesatuan boleh menjalankan aktiviti-aktiviti kesatuan seperti bengkel, kursus dan seminar sepanjang tempoh PKP?

      Kesatuan tidak dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti kesatuan secara bersemuka sepanjang tempoh PKP sebagaimana SOP MKN yang dikeluarkan dari semasa ke semasa. Walau bagaimanapun, kesatuan boleh menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut secara atas talian (online).

    7. Perlukah kesatuan mengemukakan Penyata Tahunan (Borang N) sepanjang tempoh PKP?

      Kesatuan hendaklah mengemukakan Penyata Tahunan (Borang N) bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2021 sebelum 01 Oktober 2021 dan tahun-tahun sebelumnya sebagaimana kehendak seksyen 56 Akta Kesatuan Sekerja 1959. Pihak kesatuan hendaklah menggunakan sepenuhnya sistem e-TUIS (https://e-tuis.jheks.gov.my ) yang disediakan oleh Jabatan dalam melaksanakan tindakan ini.

    8. Adakah tindakan boleh diambil sekiranya Penyata Tahunan (Borang N) tidak dikemukakan sebelum 01 Oktober 2021 berikutan Kesatuan menghadapi kekangan masa untuk menyediakannya?

      Kegagalan mengemukakan Penyata Tahunan (Borang N) dalam tempoh yang ditetapkan merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 56(4) Akta Kesatuan Sekerja 1959. Jika disabitkan kesalahan, Presiden, Setiausaha dan Bendahari Kesatuan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.00 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari yang kesalahan itu berterusan.

    9. Adakah kesatuan boleh menubuhkan dan mengemukakan permohonan pendaftaran kepada JHEKS sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

      Kesatuan boleh menubuhkan dan mengemukakan permohonan pendaftaran kepada JHEKS sepanjang tempoh PKP dengan syarat perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh MKN dari semasa ke semasa. Permohonan pendaftaran yang dikemukakan hendaklah dibuat melalui sistem e-TUIS ( https://e-tuis.jheks.gov.my )


    10. Dimanakah saya boleh mendapatkan maklumat-maklumat lanjut berkaitan hal ehwal kesatuan sekerja?

      Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman sesawang https://jheks.mohr.gov.my/.


      JABATAN HAL EHWAL KESATUAN SEKERJA MALAYSIA

      Tarikh : 3 Jun 2021

 

 

 

Versi PDF FAQ boleh dimuat turun di sini

Contact Us

Department Of Trade Union Affairs,
Ministry Of Human Resources,
Level 2, Block D4, Parcel D,
Federal Government Administrative Centre,
62530 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya.

  03-8886 5499
  03-8889 2429
  jheks@mohr.gov.my

 

NUMBER OF VISITORS

00809370
Today
Yesterday
This Week
All
451
1198
4572
809370

SOCIAL MEDIA

We use cookies to improve our website. Cookies used for the essential operation of this site have already been set. For more information visit our Cookie policy. I accept cookies from this site.Agree