KSM tidak halang mana-mana pihak nyatakan bantahan pindaan APP 1967

Pentadbir Portal 10 Disember 2019

PUTRAJAYA, 10 Dis -- Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak menghalang mana-mana pihak untuk menyatakan bantahan sekiranya tidak bersetuju dengan pindaan Akta Perhubungan Perusahaan (APP) 1967, kata Menterinya M. Kula Segaran.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) agar Dewan Negara tidak meluluskan pindaan undang-undang itu kerana mendakwa ia boleh menghancurkan gerakan kesatuan di Malaysia dan memudaratkan kebajikan pekerja.

“Pandangan MTUC adalah pandangan mereka, itu adalah sistem demokrasi di negara kita.

“Kalau ada sesiapa tidak setuju kepada apa yang kita buat, dia boleh pergi ke Parlimen,” kata Kula Segaran kepada media selepas majlis penyerahan Bantuan Kewangan Khas (Pendidikan Anak) B40 kepada 190 penerima warga KSM di sini, hari ini.

MTUC dilaporkan mengadakan perbincangan dengan ahli Majlis Senator Malaysia semalam sebagai langkah terakhir untuk memohon pindaan undang-undang perburuhan tidak diluluskan.

Mengenai kesatuan pekerja, Kula Segaran berkata daripada 15.5 juta pekerja di Malaysia, hanya kira-kira lima peratus sahaja yang menganggotai kesatuan.

Sementara itu, Kula Segaran berkata KSM akan mencadangkan kepada pihak Istana untuk menganugerahkan pingat kepada golongan B40 yang bekerja di sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) sebagai menghargai jasa mereka yang bersama-sama membangunkan negara.

“Sumbangan mereka adalah setimpal dengan sumbangan orang lain termasuk menteri, maka saya berpendapat kalau boleh, pingat dan darjah can be considered by the Palace supaya perkhidmatan mereka dapat diambil kira,” katanya.

BERNAMA 10 Disember 2019

NIOSH tawar latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40

Pentadbir Portal 11 Disember 2019

KOTA KINABALU: Program latihan kemahiran percuma kepada kumpulan pekerja isi rumah berpendapatan rendah (B40) akan diperluaskan ke Sabah tahun depan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Alice Lau berkata, selain Sabah, program itu turut diluaskan ke Sarawak. Dikenali sebagai Skim B40 Capacity Building, ianya akan dikendalikan NIOSH di bawah Kementerian Sumber Manusia.

"Sehingga kini seramai 100 pekerja B40 di Semenanjung Malaysia sudah menyertai latihan ini.

"Latihan percuma akan diberikan selama sebulan bagi menambah nilai kemahiran pekerja dalam pasaran kerja kini," katanya ketika ditemui selepas Sesi Jumpa dan Sapa di sini, kelmarin.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya 300 pekerja B40 akan disasarkan untuk menyertai program ini di sini tahun depan.

Katanya, permohon adalah berumur 18 tahun ke atas dan permohonan boleh dibuat secara atas talian untuk tapisan NIOSH.

Menurutnya, setiap peserta akan diberikan elaun, makanan dan penginapan bagi peserta sepenuh masa sepanjang sebulan.

Utusan Borneo 11 Disember 2019

MTUC mohon Dewan Negara tidak luluskan RUU Buruh

Pentadbir Portal 10 Disember 2019

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengadakan perbincangan dengan ahli Majlis Senator Malaysia sebagai langkah terakhir untuk memohon pindaan undang-undang perburuhan tidak diluluskan.

Pertemuan semalam itu bertujuan untuk mengemukakan laporan serta alasan mengenai kemudaratan pindaan itu kepada kebajikan pekerja dan keperluan untuk ia dirujuk semula kepada Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) dibentangkan semula di Parlimen.

Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, pindaan yang dilakukan oleh Kementerian Sumber Manusia ini dibuat tanpa rundingan dengan MTUC dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), sekali gus mencabuli Konvensyen 144 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang diratifikasi oleh Malaysia.

“Kami menggesa semua Senator mengutamakan masa depan 15 juta pekerja serta keluarga mereka selain mengambil kira kepentingan negara.

“MTUC amat berharap Ahli Dewan Negara tidak menyokong tindakan Menteri membentangkan pindaan-pindaan tidak adil dan memudaratkan nasib pekerja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Abdul Halim berkata, dalam pertemuan itu, mereka diberi komitmen untuk merujuk kembali rang pindaan undang-undang perburuhan berkenaan kepada NLAC supaya pindaan yang tidak adil boleh dibatal atau diperbetulkan.

“Kami menyokong pembaharuan undang-undang perburuhan tetapi pindaan yang diperkenalkan secara bersendirian oleh MOHR, adalah seolah-olah cuba memecah belahkan kesatuan (state sponsored union busting).

“Adalah amat penting untuk Dewan Negara bertindak memperbetulkan ketidakadilan yang memberi kesan langsung kepada 15 juta pekerja.

“Dewan Negara juga adalah benteng akhir untuk memastikan undang-undang tidak adil ditolak demi kebaikan rakyat,” katanya.

Turut serta dalam pertemuan itu adalah, Setiausaha Agong MTUC, J Solomon; Pengerusi Wanita MTUC dan Naib Presiden, NasrifahSukarni; Ahli NLAC, Sivanandan; Setiausaha MTUC Selangor dan Kuala Lumpur,Faisal Hussein; Ahli Majlis MTUC, S Natrajan dan perwakilan sekretariat lain.

Berita Harian 10 Disember 2019

BILANGAN PELAWAT

00030579
Hari ini
Semalam
Minggu ini
Jumlah Keseluruhan
171
765
936
30579

MEDIA SOSIAL

We use cookies to improve our website. Cookies used for the essential operation of this site have already been set. For more information visit our Cookie policy. I accept cookies from this site.Agree